CUEPACS HARAP PENGUMUMAN PENTING PM 19 MAC


WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Mac 2012


KANGAR - Perdana Men­teri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan akan hadir ke Perhimpunan Khas Penjawat Awam yang dianjurkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 19 Mac ini.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, Najib dijangka mem­buat pengumuman penting kepada selu­ruh penjawat awam mengenai keputusan tuntutan lima perkara dibawa kongres itu berhubung isu Skim Baru Penjawat Awam (SPBA).

Menurutnya, pihaknya percaya keputusan terbaik sudah difikirkan Kerajaan Pusat dalam memastikan penjawat awam mendapat pembelaan sewajarnya dan tidak perlu menunggu masa lebih lama.

“Sehubungan itu, saya menggesa sekurang-kurangnya 20,000 penjawat awam wajib hadir menyertai perhimpunan khas itu untuk menyuarakan tuntutan kita berhubung isu SBPA.

“Setakat ini, maklum balas yang diberikan amat positif dan saya difahamkan perhimpunan ini bukan sahaja bakal disertai kumpulan penjawat awam Gred Pelaksana 1 dan 2, malah turut melibatkan kumpulan pengurusan Gred 54 dan ke bawah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Bengkel Pengurusan Ahli-ahli Kesatuan Kastam Semenanjung Malaysia di sebuah hotel di sini semalam.

Hadir sama Presiden Kesatuan Kerja Kastam Semenanjung Malaysia, Ibrahim Ahmad.

GURU SKIM SSM DIMINTA TUNGGU PENGUMUMAN

Berita harian
26/2/2012


2012/02/25 BATU PAHAT: Keputusan kenaikan pangkat guru yang dinilai mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM) bergantung kepada pengumuman penting yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam tempoh terdekat.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, golongan guru yang menantikan keputusan kenaikan pangkat diminta bersabar sehingga pengumuman itu dibuat. “Lebih baik kita tunggu hasil perbincangan antara CUEPACS dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)... seperti kita maklum satu pengumuman penting akan dilakukan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat ini. “Jika merujuk kenyataan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman semalam (kelmarin), sesuatu yang menggembirakan akan diumum Perdana Menteri tidak lama lagi.

“Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng juga salah seorang pimpinan CUEPACS dan saya yakin perkara ini ada dibangkitkan dalam perbincangan bersama JPA... jadi kita tunggu hasilnya,” katanya selepas merasmikan Karnival TM Gegar, di Dataran Penggaram, di sini, semalam.

Kelmarin, Berita Harian melaporkan Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) meminta Kementerian Pelajaran mengesah terlebih dulu kenaikan pangkat yang sudah dinilai mengikut SSM sebelum menguatkuasakan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

KGMMB mendakwa sejumlah jawatan kanan masih belum mendapat pengesahan kementerian walaupun penilaian, temu duga dan pembentangan sudah dilaksanakan pada Jun dan Julai tahun lalu.