Selamat Hari Pekerja 2011



Tema Hari Perkeja 2011 : Pekerja Merealisasi Transformasi Negara

1 Mei merupakan Hari Pekerja. Hari Pekerja mula diiktiraf kerajaan pada 1973 apabila diisytiharkan hari kelepasan am (cuti umum) pada tarikh 1 Mei setiap tahun. Kerajaan mula menganjurkan Perhimpunan Hari Pekerja sejak 1991.

Pekerja merupakan nadi bagi setiap syarikat, organisasi ataupun negara. Tanpa pekerja yang produktif dan proaktif adalah sukar bagi syarikat atau sesebuah organisasi untuk beroperasi apa lagi berkembang dari semasa ke semasa.

Datuk Seri Najib Tun Razak dalam blog www.1malaysia.com.my menyifatkan transformasi Malaysia dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi dalam tempoh lima dekad direalisasikan oleh para pekerja Malaysia yang dinamik dan berproduktiviti tinggi.

Justeru, sempena sambutan Hari Pekerja pada tahun ini beliau menggesa golongan pekerja supaya memanfaatkan peluang baru yang akan terhasil dari cita-cita nasional untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Matlamat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi akan membawa manfaat kepada semua rakyat dan ia memerlukan golongan pekerja bertaraf dunia, katanya.

“Malaysia yang maju akan memerlukan pekerja yang mempunyai daya produktiviti, daya saing, keanjalan kemahiran dan berpengetahuan tinggi,” kata Perdana Menteri.

Najib menambah, kerajaan telah pun meletakkan segala asas transformasi serta ekonomi yang diperlukan untuk merealisasikan matlamat ini.

“Walaupun demikian, tanpa sokongan dan komitmen oleh para pekerja, wawasan ini akhirnya akan hanya tinggal impian semata-mata,” katanya.

Beliau menegaskan negara Malaysia maju akan menyaksikan peningkatan kualiti infrastruktur asas yang disediakan kerajaan.

“Anak-anak kita akan mendapat akses kepada perumahan, perkhidmatan perubatan dan pendidikan yang lebih baik namun untuk semua ini menjadi realiti memerlukan kita menyingsing lengan mengukuhkan tekad serta melipatgandakan lagi usaha,” katanya.

“Saban tahun kita menyambut hari yang amat bermakna ini sebagai pengiktirafan terhadap jasa-jasa para pekerja dalam membangunkan negara Malaysia yang tercinta,” jelas Perdana Menteri sambil mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua para pekerja di Malaysia.

Tema Pekerja Merealisasi Transformasi Negara dipilih untuk sambutan Hari Pekerja pada tahun ini. Majlis Perhimpunan Hari Pekerja akan diadakan pada 7 Mei 2011 di Stadium Putra Bukit Jalil dengan 12,000 warga pekerja dan majikan dijangka hadir.

Sementara Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Sambutan (Cuepacs) pula mengadakan sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei di Stadium Indera Mulia, Ipoh.

Laporan Bernama menyebut golongan pekerja mengharapkan berita gembira seperti pengumuman insentif kewangan dari kerajaan sempena sambutan Hari Pekerja pada tahun ini.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Khalid Atan berkata, insentif sedemikian mampu menjadi pemangkin supaya golongan pekerja lebih dedikasi dan produktif.

“Saya harap kerajaan akan menetapkan polisi gaji minima kepada pekerja di sektor swasta kerana saya rasa tuntutan berkenaan adalah relevan pada masa ini memandangkan harga barang keperluan dan kos hidup adalah tinggi,” katanya.

Perkara lain yang beliau harapkan diberikan perhatian oleh kerajaan adalah cuti bersalin 90 hari kepada pekerja di sektor swasta. Kebanjiran pekerja asing dalam negara juga memerlukan perhatian serius dan perlu ditangani melalui satu pendekatan yang menetapkan bilangan pekerja asing yang diperlukan negara.

Semua pekerja tidak kiralah sektor awam, swasta, golongan profesional atau pekerja am memainkan peranan tersendiri dalam memberikan sumbangan kepada syarikat dan negara. Tanpa sumbangan dan komitmen dari setiap seorang pekerja tidak mungkin negara membangun seperti hari ini.

Selamat menyambut Hari Pekerja 2011. Bagi golongan pekerja marilah kita kuatkan semangat dan tekad untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti demi negara tercinta.

Sementara golongan majikan pula diharap lebih menghargai segala pengorbanan dan sumbangan yang diberikan pekerja masing-masing sebagai perangsang dan pembakar semangat kepada pekerja untuk lebih gigih bekerja. Selamat hari pekerja kepada semua guru dan staf Sekolah Kebangsaan Sahom.


0 comments:

Catat Ulasan