Sambutan Hari Guru Peringkat SK Sahom 2011...
Selamat Hari Guru Kepada Semua Warga Pendidik SK Sahom...
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
USMAN AWANG
1979
Guru adalah awan indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara ihsan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.
Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
ketika sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara dharma,
memesan angin menghikmahkannya.
Guru adalah penelaah yang tekun,
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,
ia mengemudi biduk, melepaskannya,
atas lambungan laut, merangsangkan
manusia menyelami rahsia khazanahnya.
Guru - minda segar dan kukuh akar,
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih,
dan pada ketika tak tersangkakan,
walau diambilnya kemball semua buku,
sempat ditinggalkan asas i1mu.
Guru adalah batin suci hatinurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.
A. SAMAD SAID
2 APRIL 1988
Lagu Tema Hari Guru 2011
SATU TEKAD DAN HARAPAN MENYAHUT CABARAN DUNIA
PENDIDIK BERKUALITI DEMI MENCAPAI VISI
DENGAN AZAM YANG MURNI MEMBENTUK AKHLAK TERPUJI
GURU MENDIDIK INSAN DENGAN SETULUS HATI
MEMBIMBING GENERASI MASA DEPAN
GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA
MENJAYAKAN HASRAT YANG MURNI SATU MALAYSIA
PENDIDIK BERINOVASI MENGHASILKAN KREATIVITI
BERSEDIA HADAPI CABARAN
ARUS TANPA SEMPADAN
PENDIDIK YANG BERKUALITI
MEMBENTUK AKHLAK TERPUJI
MENGIMBANGKAN ROHANI
JATI DIRI DAN JASMANI
GURU MENDIDIK INSAN DENGAN SETULUS HATI
MEMBIMBING GENERASI MASA DEPAN
GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA
MENJAYAKAN HASRAT YANG MURNI SATU MALAYSIA
SATU MALAYSIA… SATU MALAYSIA
Khabar Gembira Buat Warga Pendidik Sempena Hari Guru Bakal Diumum
KUANTAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan khabar gembira buat warga pendidik bersempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini. Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut, sebaliknya berkata: "Insya-Allah, tunggulah...".
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama warga pendidik Pahang di sini hari ini, Muhyiddin berkata cabaran baru warga pendidik kini amat mencabar dalam usaha kerajaan mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.
"Paling utama ialah soal menyediakan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran selari dengan sasaran menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020," katanya.
Turut hadir pada majlis yang disertai lebih 2,000 warga pendidik Pahang ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata peranan guru amat penting dalam mendidik anak bangsa bagi mewujudkan modal insan berkualiti pada masa depan.
Katanya kerajaan juga telah menggariskan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP)yang bakal menyediakan 33 juta peluang pekerjaan serta tenaga kerja terlatih dalam semua bidang.
"Terdapat 12 sektor ekonomi perlu diisi dengan tenaga manusia terlatih dan ia merupakan cabaran besar untuk disediakan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
"Dalam konteks menjadi negara maju, kita berhadapan dengan persaingan, kecekapan pengurusan, keupayaan menjana sumber baru dan nilai tambah tinggi yang mana perkara itu berpandukan kepada penyediaan tenaga kerja terlatih," katanya.
Beliau berkata kesemua perkara itu memerlukan tuntutan warga pendidik yang mempunyai beban tugas mencabar bagi membentuk manusia terlatih.
Muhyiddin berkata tugas guru bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi menerapkan sifat perwatakan sahsiah baik, berakhlak dan berbudi pekerti kepada pelajar.
Beliau berkata dalam tempoh akan datang, Kementerian Pelajaran juga akan membantu warga pendidik daripada segi kebajikan guru, perjawatan, peralatan dan infrastruktur bagi membantu meningkatkan kecekapan guru dalam pengajaran. -BERNAMA
Selamat Menduduki Peperiksaan Pertengahan Tahun @ PKSR 1
Selamat Hari Pekerja 2011
Tema Hari Perkeja 2011 : Pekerja Merealisasi Transformasi Negara